12
Isa diurapi
1 Enam hari sebelum perayaan Paska, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian. 2 Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain bertelekan di meja bersama Isa. 3 Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
4 Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata, 5 ‘Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?’ 6 Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
7 Isa berkata, ‘Jangan bantah perbuatan perempuan ini. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari penguburan-Ku. 8 Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.’
9 Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian. 10 Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga. 11 Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.
Isa memasuki Baitulmaqdis
12 Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut perayaan Paska mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. 13 Mereka mengambil dahan-dahan pohon palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru,
‘Hosana!’
‘Diberkatilah Dia yang datang
dengan nama Tuhan, Raja Israel!’
14 Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya. Maka berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci,
15 ‘Janganlah takut. Wahai puteri Sion;
lihatlah Rajamu datang
menunggang seekor keldai muda!’
16 Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka sedar bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat di dalam Kitab Suci.
17 Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberi kesaksian tentang kejadian itu. 18 Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu. 19 Orang Farisi berkata sesama sendiri, ‘Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.’
Isa memberitahu tentang kewafatan-Nya
20 Di antara orang ramai yang pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani. 21 Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’ 22 Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.
23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan. 24 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah. 25 Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal. 26 Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.
27 ‘Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, “Bapa, jauhkanlah aku daripada saat penderitaan ini?” Namun, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini. 28 Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!’
Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, ‘Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.’ 29 Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, ‘Guruh.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.’
30 Isa berkata kepada mereka, ‘Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu. 31 Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan. 32 Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.’ 33 Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
34 Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’
35 Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya. 36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
37 Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya. 38 Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:
‘Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?
Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?’
39 Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yasyaya lagi:
40 ‘Dia telah membutakan mata mereka
dan menjadikan mereka keras hati,
supaya mata mereka tidak dapat melihat,
dan hati mereka tidak dapat mengerti,
lalu mereka tidak berpaling kepada-Ku
untuk Kusembuhkan.’
41 Yasyaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
42 Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah. 43 Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
44 Isa berseru, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku. 45 Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku. 46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
47 ‘Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. 48 Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir. 49 Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya. 50 Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.’