6
Isa mengajar di Nasaret
Isa beredar dari situ lalu pulang bersama para pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya. Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah. Jemaah di situ hairan mendengar ajaran Isa.
‘Dari manakah Dia memperoleh semua ini?’ tanya mereka. ‘Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat? Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maryam, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?’ Oleh itu mereka enggan menerima-Nya.
Isa berkata kepada mereka, ‘Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, di antara sanak-saudaranya dan di dalam keluarganya sendiri.’ Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya.
Isa mengutus dua belas pengikut-Nya
Selepas itu, Isa pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar. Dia memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh durjana.
Perintah-Nya kepada mereka demikian: ‘Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam ikat pinggang pun jangan. Pakailah capal, tetapi sehelai baju sahaja.’ 10 Isa berkata lagi, ‘Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, tinggallah di situ hingga kamu beredar dari kota itu. 11 Sebaliknya, jika penduduk sesuatu kota enggan menerimamu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskan debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
12 Pengikut Isa yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat. 13 Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.
Nabi Yahya dibunuh
14 Raja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Isa sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, ‘Yahya Pengimad sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia ini berkuasa melakukan mukjizat.’
15 Yang lain berkata, ‘Dia ini Ilyas.’
Ada pula yang berkata, ‘Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu.’
16 Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, ‘Dia itu Yahya yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!’
17 Ini kerana memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya. 18 Yahya pernah menegur perbuatan Herodes itu, ‘Tuanku bersalah mengahwini isteri saudara sendiri.’ 19 Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan ingin membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang, 20 sebab Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
21 Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea. 22 Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya.
Oleh itu raja berkata kepada gadis itu, ‘Mintalah daripadaku apa saja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.’ 23 Dia menyambung dengan sumpah, ‘Apa sahaja yang kamu minta akan kuberi kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.’
24 Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, ‘Apakah yang patut kuminta?’
Jawabnya, ‘Kepala Yahya Pengimad.’
25 Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, ‘Aku mahu kamu beri kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.’
26 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. 27 Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawakan kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya. 28 Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya. 29 Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya.
Isa memberi makan kepada lima ribu orang
30 Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah mereka lakukan serta ajarkan. 31 Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan para pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.’
32 Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. 33 Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan para pengikut-Nya. 34 Apabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya penuh belas kasih kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.
35 Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. 36 Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.’
37 Tetapi Isa menjawab, ‘Kamu berilah mereka makan.’
Para pengikut-Nya bertanya, ‘Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus dinar untuk memberi mereka makan?’
38 Isa bertanya, ‘Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.’
Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, ‘Lima buku roti dan dua ekor ikan.’
39 Isa mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput. 40 Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang. 41 Setelah Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Lalu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia membahagikan juga dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 42 Setiap orang makan sehingga kenyang. 43 Selepas itu para pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan roti dan ikan sebanyak dua belas bakul. 44 Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang.
Isa berjalan di atas air
45 Isa segera mengarahkan para pengikut-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 46 Setelah mereka pergi, Isa naik ke bukit untuk berdoa.
47 Apabila hari sudah malam, perahu para pengikut Isa sudah sampai ke tengah laut sedangkan Isa seorang diri di darat. 48 Isa melihat para pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira menjelang subuh, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka. 49 Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak. 50 Mereka ketakutan melihat Isa.
Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, ‘Tabahkan hatimu! Aku Isa. Jangan takut.’ 51 Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para pengikut-Nya hairan tercengang. 52 Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras.
53 Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. 54 Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Isa 55 lalu berlari ke serata kawasan dan membawakan orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada. 56 Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan atau di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar-pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Isa membenarkan orang sakit itu menyentuh jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.