14
Yang lemah dan yang kuat
Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan. Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran. Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia. Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri.
Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya. Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah. Tiada seorang pun di kalangan kita yang hidup bagi diri sendiri, dan tiada seorang pun di kalangan kita yang mati bagi diri sendiri. Jika kita hidup, kita hidup bagi Tuhan; dan jika kita mati, kita mati bagi Tuhan. Oleh itu, baik kita hidup mahupun mati, kita adalah milik Tuhan.
Al-Masih mati dan bangkit lalu hidup semula untuk menjadi Tuhan kepada yang mati dan yang hidup. 10 Mengapakah kamu menghakimi saudaramu? Dan mengapa kamu menghina saudaramu? Kita semua akan berdiri di hadapan takhta penghakiman al-Masih. 11 Kerana telah tersurat:
 
‘ “Demi hidup-Ku,” Tuhan berfirman,
“Setiap orang akan bertekuk lutut di hadapan-Ku;
dan setiap lidah akan mengaku
kepada Allah.” ’
 
12 Nyatalah bahawa setiap seorang daripada kita akan dipertanggungjawabkan memberi pernyataan tentang dirinya kepada Allah.
13 Oleh itu janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh. 14 Dalam Junjungan Isa, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis. 15 Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana al-Masih telah berkorban nyawa untuk dia juga. 16 Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan. 17 Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi menjalankan segala yang benar dan membawa kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Suci. 18 Orang yang mengabdikan diri kepada al-Masih dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia.
19 Oleh itu marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri. 20 Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung. 21 Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu.
22 Apa yang kamu percayai, percayailah sendirian di hadapan Allah. Berbahagialah orang yang tidak perlu menyalahkan dirinya tentang sesuatu yang dipercayainya benar. 23 Sebaliknya, seseorang yang makan sesuatu dengan perasaan waswas adalah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berasaskan iman. Segala yang tidak berasaskan iman itu adalah dosa.