21
Persembahan seorang balu
Isa memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan di rumah ibadat. Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga. Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain, kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.’
Robohnya rumah ibadat
Beberapa orang berkata-kata tentang rumah ibadat yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah. Isa pun berkata, ‘Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan dan tiada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya.’
Kesusahan dan penganiayaan
Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, bilakah semua perkara ini akan terjadi? Apakah alamat-alamatnya bahawa masanya sudah tiba?’
Isa berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia,” dan “Masanya sudah tiba.” Janganlah kamu ikut mereka. Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai.’
10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan; 11 gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan alamat-alamat yang hebat akan kelihatan di langit.
12 ‘Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah-saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku. 13 Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik. 14 Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri 15 kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu. 16 Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang di antara kamu 17 dan kamu akan dibenci oleh semua kerana-Ku. 18 Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang. 19 Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.
Isa memperkatakan keruntuhan Baitulmaqdis
20 ‘Apabila kamu melihat kota Baitulmaqdis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir. 21 Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu. 22 Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi. 23 Malangnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini. 24 Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmaqdis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.
Kedatangan Putera Insan
25 ‘Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan. 26 Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Cakerawala di angkasa lepas akan terpesong daripada peredarannya. 27 Lalu mereka akan melihat Putera Insan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28 Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.’
29 Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka: ‘Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! 30 Apabila pokok itu penuh menguntum, kamu tahu bahawa musim panas hampir tiba. 31 Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.
32 ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sebelum orang zaman ini mati, segala perkara itu akan terjadi. 33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku berkekalan.
Perlunya berjaga-jaga
34 ‘Berjaga-jagalah! Janganlah leka dengan kesia-siaan dan kemabukan serta kekhuatiran terhadap kehidupan duniawi sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka. 35 Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. 36 Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Putera Insan.’
37 Pada siang hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun. 38 Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke rumah ibadat untuk mendengar Dia.